Monday, July 6, 2009

Hakikat Fikir dan Buahnya.

بيان حقيقة الفكر وثمرته
HAKIKAT FIKIR DAN BUAHNYA.

Ketahuilah bahawa makna itu fikir ialah: menghadirkan dua ma’rifah dalam hati, untuk membuahkan darinya ma’rifah yang ketiga.
Sebagai contohnya: orang yang telah cenederung kepada kehidupan yang segera (dunia) dan lebih mengutamakan kehidupan dunia ini, apabila dia hendak mengenal (atau untuk menetapkan dalam hatinya) bahwa akhirat itu adalah lebih utama dari kehidupan dunia, maka untuk maksud ini dia mempunyai dua jalan:

Pertama ialah:
ia mendengar dari orang lain bahawa akhirat itu lebih utama daripada dunia. Apabila mendengar kenyataan ini, lalu ia mengikuti dan membenarkannya, tanpa meneliti/merhatikan hakikat urusan ini, maka ia cenderung beramal untuk akhirat, hanya dengan berpegang kepada perkataan orang itu semata-mata.
lni dinamakan taqlid (yakni mengikut tanpa alasan) dan tidak dinamakan ma’rifah.

Kedua ialah:
Dengan jalan ia mengetahui bahawa yang lebih kekal itu (akhirat) adalah lebih baik diutamakan. Ia mengenali bahawa akhirat itu yang lebih kekal, maka terhasillah baginya dari dua ma’rifah ini, ma’rifah yang ketiga: iaitu bahawa akhirat itu lebih patut diutamakan. Dan tidak mungkin mentahqiqkan ma’rifah yang ketiga itu kecuali dengan dua ma’rifah sebelumnya.
Maka usaha untuk menanam atau menghadirkan dua ma’rifah yang sebelum itu dalam hati, supaya dapat sam¬pai kepada ma’rifah yang ketiga, dinamakan ia:
Tafakkur (تفكر ), i’tibar (اعتبار ), tazakkur (تذكر ), nazar (pemerhatian - نظر), penelitian (تأمل ) , dan tadabbur (تدبر ).

Tadabbur, penelitian dan tafakkur, adalah kata-kata yang mempunyai satu makna, tidak di bawahnya makna-makna yang berlainan.
Adapun nama tazakkur, i’tibar dan nazar itu, maka maknanya berbeza, walau pun asalnya yang dinamakan itu satu. Sebagaimana nama syarim, muhannad dan saif itu panggilan kepada satu benda, tetapi dari sudut yang berbeza. Syarim itu menunjukkan kepada pedang sebagai pemotong, Muhannad pula dari segi hubungan tempat asalnya ( lndia – hind/muhannad), dan saif menunjukkan maknanya yang mutlak, iaitu pedang.
Maka seperti itu jugalah i’tibar, iaitu usaha ke arah menghadirkan dua ma’rifah dari segi dua ma’rifah itu kan menghasilkan ma’ri¬fah yang ketiga. Walaubagaimana pun, hasil itu tidak terjadi dan tidak mungkin terjadi, kecuali dengan wuquf atas dua ma’rifah itu. Maka tetaplah padanya nama tazakkur, bukan nama i’tibar.
Adapun nazar dan tafakkur maka jatuh ke atasnya dari segi padanya menuntut kepada ma’rifah ketiga. Maka siapa yang tidak mencari ma’rifah yang ketiga, tidaklah dia dinamakan orang yang menggunakan nazar.
Setiap orang yang bertafakkur itu adalah orang bertazakkur. Sebaliknya tidaklah setiap orang bertazakkur itu bertafakkur. Faedah bertazakkur (mengingati semula) ialah: mengulang-ulangkan (takrir) ma’rifah ke dalam hati supaya menjadi kukuh dan tidak terhapus dari hati. Sementara faedah tafakkur pula ialah membanyakkan ilmu dan menarik ma’rifah yang belum terhasil.
Maka itulah perbezaan di antara tazakkur dan tafakkur.
Adapun ma’rifah-ma’rifah itu apabila terkumpul di dalam hati dan bercampur-campur di atas tertib yang khusus, sudah pasti membuahkan ma’rifah-ma’rifah yang lain. Maka ma’rifah itu adalah natijah dari ma’rifah. Apabila terhasilnya ma’rifah yang lain dan bercampur-aduk dengan ma’rifah yang lain itu, sudah pastilah terhasil dari keadaan itu natijah yang lain pula. Dan begitulah sentiasa bersambung-sambungannya natijahnya, bersambung-sambung ilmu-ilmunya, dan berpanjanganlah fikiran, sehingga tidak berkesudahan.
Sesungguhnya terhentinya jalan bertambahnya ma’rifah itu dengan mati atau dengan halangan-halangan yang lain. Dan ini adalah bagi orang yang mampu mencari buah ilmu-ilmu dan mendapat petunjuk kepada jalan tafakkur.
Adapun kebanyakan dari manusia terhalang daripada menambahkan ilmu kerana ketiadaan modal, yakni: ma’rifah-ma’rifah. Dengan ma’rifah-ma’rifah ini maka terhasil dan berbuahlah ilmu. Seperti orang yang tidak mempunyai barang jualan, maka ia tidaklah ia memperolehi keuntungan berniaga. Ada kalanya ia memiliki barang-barang jualan, tetapi ia tidak pandai berniaga -. ia tidak akan mendapat apa-apa keuntungan pun.
Seperti itu juga, kadang-kadang ada baginya ma’rifah, yang boleh menjadi modal ilmu-ilmu, tetapi disebabkan ia tidak pandai memakainya, menyusunnya, dan mencampurkannya untuk membawa kepada natijah (bertambahnya ma’rifah-ma’rifah ilmu ).
Mengetahui jalan pemakaian dan memperoleh buah hasil sekali adalah dengan Nur Ilahi dalam hati, yang diperoleh dengan fitrah, sebagaimana yang terjadi kepada para anbiya صلوات الله عليهم أجمعين - semuanya. Dan yang demikian itu sukar sekali.
(ومعرفة طريق الاستعمال والاستثمار تارة تكون بنور إلهى في القلب يحصل بالفطرة كما كان للأنبياء صلوات الله عليهم أجمعين وذلك عزيز جدا)
Dan jalan yang lebih banyak lagi (untuk memperolehi natijah ma’rifah dan ilmu) ialah dengan cara ta’lim dan kesungguhan usaha. Orang yang bertafakkur itu datang kepadanya natijah ma’rifah-ma’rifah dan terhasil baginya buah, sedangkan dia tidak mengetahui dengan kaifiyat keberhasilannya. Dan ia tidak mampu mengibaratkannya kerana sedikitnya kesungguhan usaha ta’bir bagi mendatangkan fikiran. Berapa banyak insan yang tahu dengan ilmu yang tahqiq bahawa akhirat itu lebih patut diutamakan, tetapi jika ditanyakan sebab-sebab ma’-rifahnya, sudah pasti ia tidak dapat mengemukakannya dan meng’ibarat-kannya, serta tidak berhasil ma’rifahnya, kecuali dari dua ma’rifah yang terdahulu: iaitu bahawa yang lebih kekal itu lebih patut diutamakan, dan akhirat itu lebih kekal dari dunia. Maka terhasillah baginya ma’rifah ketiga, iaitu: akhirat itu lebih patut diutamakan.
Ini merujuk kembali pada hasil hakikat tafakkur kepada menghadirkan dua ma’rifah, untuk sampai dengan dua ma’rifah itu kepada ma’rifah ketiga.
Adapun buah fikiran itu ialah: ilmu-ilmu, ahwal, dan amal-amal. Tetapi hasilnya yang khusus ialah ilmu, tidak yang lain.
Memang benar, apabila terhasilnya ilmu di dalam hati, nescaya berubahlah hal (keadaan - حال ) hati itu. Dan apabila berubahnya keadaan hati, sudah pasti berubahlah amal-amal perbuatan anggota-anggota badan. Sesunggunhnya amal perbuatan itu mengikuti keadaan (hal), hal itu pula mengikuti ilmu, dan ilmu itu pula mengikuti fikir.
Oleh sebab itulah fikir itu adalah pokok permulaan dan kunci bagi semua kebaikan.
Dan dengan ini maka terbukalah bagi anda, dari fadhilat tafakkur itu. Dan sesungguhnya ia lebih baik dari zikir dan tazakkur, kerana fikir itu adalah zikir dan lebih lagi. Dan zikir hati itu adalah lebih baik dari amalan perbuatan anggota-anggola badan. Bahkan amal itu menjadi mulia, kerana ada padanya zikir.
Jadi tafakkur itu lebih baik dari sejumlah amal-amal perbuatan. Dan sebab itulah dikatakan: “Fikir sesaat lebih baik dari ibadat setahun.”
Sebab itu dikatakan: bahawa dengan fikirlah yang dapat mengubah perkara yang dibenci kepada amal perbuatan yang dikasihi. Dengan fikirlah dapat merubah dari kegemaran (raghbah) dan ketamakan kepada zuhud dan qana’ah.
Dan dikatakan bahawa dengan fikirlah yang mendatangkan musyahadah (penyaksian) dan taqwa. Oleh sebab itu, Allah Taala berfirman:
لعلهم يتقون أو يحدث لهم ذكرا
“…Agar mereka bertakwa atau (agar) al-Qur’an itu menimbulkan pengajaran bagi mereka.” (Tha Ha:113).

1 comment: