Friday, June 26, 2009

Kemenangan Umat Islam di 'Ain Jalut (Falastin)

Pada abad ke7 hijrah umat Islam telah di kalahkan, ditakluk dan disembelih oleh kaum musyrik Monggol. Umat Islam mengalami penindasan yang begitu dahsyat sehingga hampir 15 juta orang islam telah dibunuh.

Setelah sekian lama diinjak oleh kaum musyrik Monggol ini akhirnya ALLAH ta'ala telah memberi kemenangan pertama bagi pasukan Islam di dalam Perang 'Ain Jalut.

Berikut adalah detik-detik heroic menjelang kemenangan itu:

Sultan Qutuz meminta kepada pasukannya untuk menunggu hingga setelah selesai shalat Jumaat: "Janganlah kamu melancarkan serangan kepada mereka sehingga matahari tergelincir memberikan bayang-bayang, angin bertiup dan para khatib di Masjid-masjid (seluruh dunia Islam) serta manusia lainnya mendoakan kita dalam shalat-shalat".
Bila tentera Monggol telah sampai ke medan perang, maka berlakulah pertempuran yang sengit di antara pahlawan-pahlawan Islam dan kafir musyrik Monggol serta sekutu-sekutunya. Serbuan ganas dari Monggol disambut dengan hayunan pedang dan hujan panah dari tentera Islam. Satu asakan keras dari sepasukan tentera sayap kanan Monggol telah dapat menghancurkan barisan pertahanan sayap kiri tentera Islam.
Akibatnya barisan tentera Islam ini menjadi kucar-kacir dan bertaburan. Tentera Islam yang bertaburan tadi telah berasakkan menolak tentera Islam yang induk.
Suasana keliru telah terjadi di mana banyak ketua-ketua perang yang berundur lari, diikuti oleh tentera-tentera berjalan kaki.
Di tengah berlangsungnya pertempuran yang berkecamuk ini, isteri Sultan Qutuz bernama "Jullanar" telah cedera yang sangat parah kerana terkena senjata musuh.
Maka Sultan bergegas mendekatinya dengan berteriak "Oh wahai kekasihku!" pada detik-detik nafas terakhir kepergian isterinya.
Dalam kaeadaan hampir nazak itu, isterinya sempat membalas dengan berkata kepadanya : "Jangan engkau katakan itu tapi katakanlah Islamah! (Demi Islam - seruan seruan membangkit semangat juang)", kemudian terangkatlah rohnya kepangkuan Rabnya setelah menyampaikan pesan yang sangat-sangat penting:
bahawa urusan Islam dan jihad di jalan ALLAH adalah lebih penting dari cinta dan hubungan peribadi.

Melihatkan keadaan yang sangat genting ini, maka tanpa mengira keselamatan dirinya, Sultan al-Malik Muzaffar Saifuddin Qutuz, telah naik ke atas satu batu yang besar. Dia telah melemparkan topi besinya dan menjerit sekuat-kuat hati:
"Wa Islamah...! Wa Islamah...! Wa Islamah!.."
untuk mengingatkan tentera Islam yang berundur supaya kembali berjuang mempertahankan kedaulatan Islam.
Ketua-ketua perang dan tentera Islam terkejut besar menyaksikan keberanian luar biasa Sultan mereka. Mereka merasa malu kerana berundur dari medan perang, dan memarahi diri masing-masing kerana telah kalah kepada suasana.
Jeritan Sultan mereka seolah-olah memberi satu semangat dan tenaga baru. Maka mereka pun menyahut kembali laungan Sultan itu, dengan laungan "Wa Islamah...! Wa Islamah...! Wa Islamah!.." yang waktu ini menjadi jeritan perkasa setiap pahlawan Islam. Mereka berpatah kembali dan menyerbu ke arah barisan tentera Monggol.
Ramailah singa-singa Islam melompat masuk untuk mengamuk di dalam kumpulan tentera Monggol. Akibatnya ramai tentera Monggol yang terbunuh dan barisan mereka pecah.
Ini diikuti pula oleh serbuan demi serbuan oleh tentera Islam yang tadinya sudah mula berundur. Maka pukulan maut ini telah menyebabkan ramai ketua-ketua perang Monggol telah terbunuh, dapat di tawan. Saki-baki tentera Monggol telah lari meninggalkan medan peperangan.
Untuk memastikan gerombolan ini tidak mengganas lagi masa akan datang, tentera Islam telah mengejar dan membunuh mereka ke semuanya. Yang masih dapat lari dari tentera Islam, akan dibunuh pula oleh penduduk al-Shams.
Di waktu pertempuran sedang berkecamuk, kuda Sultan Qutuz terbunuh lalu ia turun dan terus bertempur walau tanpa kuda sehingga pasukannya memberikannya kuda lain. Namun ia menolak untuk mengambil kuda ketua perangnya yang secara sukarela memberikan itu kepadanya dengan mengatakan bahawa ia tidak mahu untuk menghalangi mereka dalam menunaikan tugas suci ini. Sebaliknya ia harus berusaha sendiri untuk dapat menyelamatkan diri. Sultan ditanya mengapa tidak mahu menunggang kuda dan kalau para musuh melihat sudah tentu mereka akan membunuhnya dan Islam akan dikalahkan. la menjawab :"Kalau saya terbunuh, maka saya telah pergi ke syurga. Dan untuk Islam, maka ia mempunyai Tuhan yang tidak akan melenyapkannya! ".
Setelah selesai peperangan dan kemenangan ada di pihak Islam, Sultan Qutuz turun dari kudanya berjalan dan mengusap mukanya dengan debu medan tempur serta sujud di hadapan ALLAH bersyukur kepada-Nya yang telah mengurniakan kemenangan.
Apabila berita kemenangan tentera Islam sampai ke kota Damsyik dan sekitarnya, Maka umat Islam berasa sangat gembira dan bersyukur. Mereka merasa dapat menebus kembali maruah dan kehormatan mereka. Semangat baru telah timbul, tiada lagi ketakutan dan kelemahan. Mereka telah menyerang Monggol dan Tartar di kawasan mereka dan membunuhnya.
Mereka juga menyerang kuncu-kuncu Monggol, seperti puak Batiniah, Shi'ah Ghulat, dan ahli-ahli Sufi yang sesat. Apabila kaum Monggol di al-Shams dan tanah Arab menyedari bahawa kuasa mereka sedang jatuh, mereka melarikan diri balik ke tanah Monggol.
Ini menyebabkan usaha Sultan al-Malik Muzaffar Saifuddin Qutuz (rahmatullah alaih) untuk membebaskan cengkaman Monggol ke atas al-Shams menjadi mudah. Bumi Al-Shams dimerdekakan dari penjajahan kaum musyrik Monggol hanya dalam masa beberapa minggu sahaja!.

AI-Suyuti menulis dalam Tarikh al-Khulafa':

"....Dengan kurnia ALLAH, tentera Islam memperolehi kemenangan dan mereka menewaskan Monggol dengan teruknya. Sejumlah besar tentera Monggol dibunuh. Tentera yang berundur itu begitu berputus asa sehingga orang ramai mudah menangkap dan merampas harta milik mereka."

Begitulah jika telah sampai masanya ALLAH memberi pertolongan/nusrah, dalam masa yang sangat singkat kebatilan dan kezaliman akan runtuh - walau sudah berpuluh-puluh tahun menderita.

No comments:

Post a Comment